TAMADUN ISLAM : TEMA 2 – KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ
Khalifah Umar bin Abdul Aziz Yang Agung
Biodata Ringkas
Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
Tahun Lahir : 61H
Umur : 39 tahun
Tarikh Wafat : 101H
Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : 2 tahun 5 bulan
Pendidikan
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)
Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.
Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah seperti berikut :
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian di tengah-tengahnya"
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin".
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahkan tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga" Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang"
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :
1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".
4) Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
5) Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
6) Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
7) 'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."
Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem feudal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
2) Merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan....
Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat........kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini....hanya 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan orang yang benar-benar ikhlas.....!!!
TAMADUN ISLAM : TEMA 1 – FAKTOR DAN KESAN HIJRAH
Nyatakan faktor-faktor dan kesan-kesan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah.
Pendahuluan (3 markah)
a) Konsep Hijrah
1. Hijrah ertinya ‘perpindahan’, iaitu perpindahan orang Islam dari Makkah ke Madinah bermula pada 1 Muharram dan tarikh ini merupakan bermulanya tahun hijrah dalam kalendar Islam.
2. Orang Islam telah merangka strategi yang cukup teliti untuk berhijrah bagi memastikan kejayaannya dari segi agama, moral, sosioekonomi dan politik. Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana kesesuaiannya dari segi agama, moral dan sosioekonomi.
3. Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abd al-Asad pada 1 Muharam tahun pertama Hijrah ( 16 Julai 622 M ). Rombongan pertama yang berhijrah ke Madinah ialah seramai 70 orang dan mereka berhijrah dalam kumpulan-kumpulan kecil agar tidak diketahui oleh kaum Musyrikin Makkah .
Isi Jawapan ( 20 markah )
Faktor-faktor penghijrahan ( 5x 2 markah = 10 markah)
1. Bai'atul Aqabah
Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.
2. Tekanan Musyirikin Mekah
Tekanan / Ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.
3. Kegagalan Dakwah di Taif
Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.
4. Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.
5. Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.
6.Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.
7. Kedudukan Madinah yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.
8.Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.
9. Wahyu
Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.
Kesan-kesan penghijrahan.( 5 x 2markah = 10 markah)
1. Umum
Dapat mempergiatkan penyebaran agama Islam Hijrah merupakan suatu proses jangka panjang dalam perjuangan umat Islam dan dilakukan secara terancang dan teratur dari segi kerohanian dan kebendaan .Nabi Muhammad (SAW ) mendapat teman yang setia, jujur dan ikhlas dalam mengharungi perjuangan iaitu Ali dan Abu Bakar. Keredaan dan restu daripada Allah perlu sentiasa dipohon terutama di waktu-waktu kesusahan.
2) Perubahan Pusat Gerakan Islam Perkembangan politik
Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah. Bidang politik mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan ketenteraan di mana kegiatan ketenteraan Islam berkembang dengan pesat dan berjaya menundukkan dua buah empayar besar iaitu Parsi dan Rom.
3) Penyebaran Islam Semakin Meluas
Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.
4) Perubahan Kedudukan Nabi
Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.
5) Pertambahan Umat Islam
Hijrah umat Islam adalah atas arahan Allah dan merupakan pekerjaan yang berkaitan dengan agama. Tujuan utama hijrah adalah untuk menuntut keredaan Allah. Madinah dipilih adalah kerana kesesuaiannya untuk dijadikan pusat penyebaran agama Islam. Peristiwa hijrah ke Madinah juga terdapat banyak unsur-unsur mukjizat yang berkaitan dengan aspek keagamaan secara langsung dan dapat mempertingkatkan iman dan keyakinan orang Islam.Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari dua golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.
6) Penubuhan Negara Islam
Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.
7) Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah
Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.
8) Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar
Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
9) Permulaan Kalendar Hijrah
Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.
10) Perubahan Dasar Politik
Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang apa sahaja penentangan Quraisy secara kekerasannya. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar.
11) Pertumbuhan Ekonomi
Kedudukan ekonomi orang Islam sewaktu di Madinah semakin kukuh. Orang-orang Muhajirin telah diberi bantuan oleh orang Ansar. Selain itu, Madinah merupakan kawasan yang sesuai untuk pertanian dan kedudukannya yang strategik untuk perdagangan. Setelah hijrah, sistem ekonomi Islam yang bertepatan dengan syariat Islam telah diperkenalkan dan ekonomi masyarakat Islam bertambah kukuh dan negara Islam menjadi lebih makmur dan stabil.
12) Sosial ( pembentukan ummah )
Semasa di Makkah, masyarakat Jahiliah mengamalkan cara hidup berkabilah sementara para peniaga pula bersifat individualistik. Penghijrahan telah menghapuskan nilai-nilai masyarakat Jahiliyah dan digantikan dengan nilai-nilai murni berpandukan akidah dan akhlak. Dalam sistem sosial Islam, setiap orang diberi kebebasan tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di mana hidup berkabilah telah digantikan dengan sistem sosial dalam bentuk Ummah.
Kesimpulan ( 2 markah )
Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad ( SAW ) merupakan perjuangan Baginda untuk menegakkan ajaran agama Islam. Baginda didorong dan didesak oleh keperluan untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan demi kebahagiaan dan kesejahteraan umat Islam. Umat Islam harus mengambil iktibar daripada penghijrahan Rasullulah ( SAW ) untuk meneruskan perjuangan hidup demi kebaikan umat Islam.
Penghijrahan ini juga telah membuka satu lembaran baru dalam episod penyebaran dan perkembangan agama Islam.Terlalu banyak kebaikan yang dinikmati oleh umat Islam dan umat manusia rentetan dari penghijrahan tersebut.
............................................................................
Huraikan faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan tamadun awal manusia.
............................................................................
A. Pengenalan
1. Konsep tamadun
? Definisi tamadun
? Ciri-ciri tamadun secara umum
2. Latar belakang zaman prasejarah akhir @ zaman neolitik
3. Latar belakang tamadun
ISI:
Faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan tamadun awal manusia (7 isi X 3 markah)
1. Kemajuan dan pencapaian manusia pada zaman Neolitik
? Pencapaian dari segi ekonomi, pemikiran dan sosialisasi pada zaman Neolitik membawa kepada kemunculan tamadun.
? Muncul petempatan kekal yang membentuk kampung-kampung.
? Telah mencapai kemajuan dari segi ekonomi dengan berlakunya Revolusi Pertanian
? Telah melahirkan sistem kepercayaan yang semakin kompleks.
2. Berlaku proses urbanisasi @ perbandaran
? Proses urbanisasi di sesuatu tempat berikutan adanya kegiatan pertanian, penenunan dan penternakan binatang.
? Manusia juga cuba hidup bersatu dengan tujuan untuk menghadapi cabaran fizikal.
? Berlaku perkembangan daripada sebuah kampung ke bandar dan negara kota.
? Ekoran daripada berlakunya pertambahan penduduk di sesuatu kawasan seperti di kampung, berlakunya pembukaan tanah-tanah baru untuk penempatan dan kegiatan pertanian.
? Urbanisasi ini membawa kepada pengasasan beberapa tamadun lain.
3. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi
? Kemajuan dalam bidang ini dapat dilihat apabila manusia mula menggunakan logam seperti besi, tembaga dan gangsa
? Penciptaan pelbagai alat dan teknologi pertanian seperti tajak dan terusan menyebabkan pertanian diusahakan dengan meluas.
? Penghasilan alatan tembikar dan penciptaan roda membawa kepada perubahan cara hidup masyarakat.
? Berlaku penciptaan kapal yang lebih besar dan layar kapal.
? Kesannya, hasil pertanian meningkat dan wujudnya aktiviti perdagangan.
4. Peranan Sungai
? Kemunculan tamadun awal di lembah-lembah sungai menunjukkan kepentingan sungai sebagai salah satu faktor perkembangan tamadun.
? Sungai membantu kegiatan pertanian dari segi perairan, kesuburan tanah dan sebagai sumber bekalan makanan.
? Sungai juga berperanan sebagai jalan pengangkutan yang penting.
? Kesannya; terdapat banyak tamadun muncul di lembah-lembah sungai seperti di lembah sungai Nil, Tigris-Euprates, Indus dan Hwang Ho.
5. Faktor angin
? Angin memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun.
? Angin membantu pelayaran dan pengangkutan di antara satu tamadun dengan tamadun yang lain.
? Hal ini membolehkan wujudnya perdagangan jarak jauh untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.
? Perdagangan memajukan kebudayaan kerana berlakunya pertukaran fikiran dan maklumat.
6. Faktor bahasa dan tulisan
? Bahasa dan tulisan menjadi asas kepada kemajuan pengetahuan dan membantu melicinkan urusan pentadbiran dan ekonomi.
? Tulisan-tulisan pada zaman Neolitik menjadi asas kepada perkembangan sistem tulisan dalam tamadun awal.
? Fungsi tulisan adalah untuk merekod kegiatan ekonomi, keagamaan dan harta kuil serta perundangan.
? Contoh; tulisan cuneiform dalam tamadun Mesopotamia banyak digunakan untuk merekod tentang kegiatan perdagangan dan pentadbiran dan tulisan hieroglif dalam tamadun Mesir untuk merekodkan keagamaan.
? Kesannya, penghasilan karya sastera seperti epik Gilgamesh dalam tamadun Mesopotamia, Epik Mahabrata dan Ramayana dalam tamadun Indus.
7. Berlaku Penciptaan roda
? Penciptaan roda oleh masyarakat Neolitik di Sumeria turut mempengaruhi kemunculan tamadun.
? Teknologi roda kemudiannya digunakan sebagai peroda untuk membuat tembikar, sebagai kincir dalam pengairan dan untuk menarik pedati (kereta kuda) bagi tujuan membawa hasil pertanian ke pelabuhan
? Hal ini membantu memajukan tamadun masyarakat tersebut.
? Roda juga mempercepat perkembangan industri tangan seperti pembuatan tembikar dan tekstil.
? Roda juga menggalakkan pertumbuhan perdagangan antara tamadun seperti tamadun Mesopotamia, Mesir dan Mohenjo-Daro.
8. Muncul Hieraki masyarakat @ Organisasi Sosial
? Hal ini dapat dilihat kepada kewujudan golongan pemerintah dengan golongan diperintah.
? Kewujudan organisasi sosial mewujudkan pengkelasan dalam masyarakat yang mempunyai peranan masing-masing.
? Contoh : Raja berfungsi sebagai pemerintah, pembesar berfungsi membantu raja dalam pentadbiran, petani untuk mengusahakan sumber makanan dan hamba pula untuk menjalankan kerja-kerja buruh.
? Membolehkan pentadbiran dapat dijalankan dengan lebih cekap dan membolehkan kemajuan dalam bidang politik dan sosial.
9. Wujud Pembahagian tugas @ Pengkhususan Kerja
? Pembahagian tugas dalam aktiviti pertanian dalam zaman prasejarah menyebabkan berlakunya pengkhususan kerja.
? Hal ini membolehkan setiap anggota masyarakat mempunyai tugas yang tetap.
? Keadaan ini mempercepat lagi proses kemajuan.
? Bentuk-bentuk kerja yang wujud dalam tamadun awal ialah askar, petani, tukang, peladang dll.
? Contoh, golongan artisan mewujudkan pengkhususan kerja seperti tukang kayu, bina kuil, bina piramid, membina terusan dan lain-lain.
10. Pembentukan Sistem agama dan kepercayaan
? Perkembangan sistem kepercayaan pada zaman prasejarah terutama pada zaman Neolitik telah pun mempengaruhi corak perkembangan sistem kepercayaan yang lebih kompleks.
? Agama dan kepercayaan adalah penting dalam menentukan tatacara kehidupan dalam masyarakat.
? Agama penting dalam memupuk perpaduan dalam masyakarat tamadun awal.
? Agama sebagai asas sistem pendidikan.
? Contoh, dalam tamadun Indus, kitab veda telah menjadi rujukan dalam sistem pendidikan.
Kesimpulan
1. Secara keseluruhannya, sesuatu tamadun itu menunjukkan bentuk yang formal dan berorganisasi.
2. Urbanisasi telah membawa kepada pengurangan kebebasan individu dan hidup dalam suatu rangka kawalan.
3. Akibat urbanisasi, maka sesuatu yang berbentuk susun lapis yang berdasarkan kekuasaan, kelahiran dan kekayaan benda telah terbentuk.
..........................................................................................
Sejauhmanakah kekuatan ketenteraan penting dalam pengukuhan kuasa empayar tamadun-tamadun awal.
..........................................................................................
A. Pendahuluan
· Menurut Farmer dalam buku, Comparative History of Civilizations, empayar merujuk kepada entiti politik yang menyatukan zon budaya yang luas. Kemunculan empayar disebabkan oleh dasar imperialisme yang menyebabkan berlaku proses penaklukan dan perluasan kuasa terhadap negara-negara lain. Proses perluasan kuasa menyebabkan muncul beberapa empayar seperti empayar Maurya dan Gupta di India, empayar Chin dan Han di China dan empayar Rom di Eropah. Terdapat dua jenis empayar yang utama iaitu empayar daratan dan empayar maritim. Empayar daratan menguasai tanah yang luas seperti empayar Maurya, Gupta, Rom dan Chin. Empayar maritim pula bergantung kepada penguasaan laut seperti empayar Srivijaya dan Majapahit .
· Konsep ketahanan dan pertahanan. ( Buat rujukan )
B. Isi-isi ( 7 isi x 3 markah = 21 markah )
(Huraikan isi kekuatan ketenteraan pada perenggan pertama. Mesti ! )
1. Kekuatan ketenteraan
Kekuatan ketenteraan amatlah penting dalam pengukuhan empayar dan bagi mewujudkan keamanan dalam empayar. Para pemerintah menggunakan tentera untuk mengatasi rampasan kuasa, pemberontakan dan keadaan kacau bilau. Bagi memudahkan tentera mengawal keadaan dalam negara, kota-kota pertahanan, jalanraya dan tembok didirikan. Contohnya pada zaman pemerintahan Maharaja Shih Huang Ti, tembok besar yang dikenali sebagai Tembok Besar China didirikan bagi mengelakkan serangan orang-orang gasar.
Dalam Tamadun India pula, kekuatan ketenteraan begitu dominan dalam pengukuhan dan perluasan empayarnya. Dalam hal ini,terdapat empat jenis tentera yang digunakan iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera berkereta kuda dan tentera berjalan kaki ( infantri ).Terdapat juga unit – unit seperti tentera laut, pengintip, kumpulan perintis dan komisariat. Keunikan ketenteraan India ialah penggunaan gajah dan ianya berperanan memecahkan barisan tentera musuh, meruntuhkan kubu, pintu kota dan benteng pertahanan. Kereta kuda pula digunakan secara meluas pada zaman Maurya dan kebiasaannya Raja – raja India mempunyai angkatan tentera yang besar. Misalnya, Candragupta Maurya mempunyai 600, 000 orang tentera, Rajaraja I mempunyai 900, 000 orang tentera dan Mahendrapala boleh menggerakkan 800,000 orang tentera pada bila-bila masa.
(Huraikan dan tegaskan terdapat faktor lain yang turut mengukuhkan kuasa empayar)
2. Perluasan wilayah
Salah satu ciri lain dalam pengukuhan empayar ialah perluasan kuasa. Apabila sesebuah empayar menjadi stabil, langkah-langkah diambil untuk memperkembangkan pengaruh di wilayah-wilayah berhampiran. Usaha perluasan kuasa merupakan langkah untuk menundukkan kuasa-kuasa besar di pinggiran yang menggugat kestabilan politik sesebuah empayar. Contohnya, empayar Maurya diasaskan oleh Chandragupta Maurya dengan menyatukan negara-negara kecil di utara India. Pembentukan empayar ini bertujuan untuk menundukkan ancaman Yunani.
3. Sistem birokrasi yang teratur
Kekuatan sesebuah empayar dapat dipertahankan dengan wujudnya sistem pentadbiran yang sistematik dan teratur. Sistem pentadbiran amat penting bagi mengukuhkan cengkaman kuasa kerajaan di seluruh wilayah jajahan takluk. Untuk tujuan tersebut, biasanya sesebuah kerajaan membahagikan empayar kepada wilayah-wilayah yang diperintah oleh gabenor. Kerajaan pusat melantik pemerintah di peringkat wilayah dan sentiasa mengawasi pegawai-pegawai di wilayah. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti telah membahagikan empayarnya kepada 36 wilayah dan wilayah-wilayah ini ditadbir oleh gabenor tentera.
4. Keseragaman budaya
Pembentukan keseragaman budaya bertujuan untuk melahirkan kesatuan dan perpaduan di seluruh empayar. Dalam konteks ini, lazimnya budaya negara induk akan dijadikan budaya rasmi di seluruh jajahan takluk empayar. Contohnya, Iskandar Zulkarnain menyebarkan kebudayaan Hellenistik yang merupakan paduan antara budaya Yunani dan Parsi ke seluruh empayar. Beberapa bandar baru ditubuhkan sebagai pusat penyebaran kebudayaan Hellenistik seperti Iskandariah dan Antioch.
5. Keseragaman sosial dan ekonomi
Para pemerintah sesebuah empayar lazimnya akan bertindak menyeragamkan sistem tulisan, ukuran timbangan dan penggunaan matawang. Tindakan ini diambil untuk melicinkan urusan pentadbiran dan juga untuk memupuk semangat nasionalisme di kalangan penduduk. Contohnya, Sargon Agung telah memperkenalkan bahasa Akkadia sebagai bahasa rasmi empayarnya. Manakala, Asoka yang merupakan pemerintah agung empayar Maurya telah menjadikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa rasmi empayarnya bertujuan mewujudkan penyatuan politik dan budaya. Dalam bidang ekonomi pula para pemerintah memperkenalkan sistem timbangan, ukuran dan matawang yang seragam. Contohnya, di Melaka, sistem timbangan berdasarkan ukuran kati dan tahil digunakan.
6. Kewibawaan pemimpin
Kekuatan dan keutuhan sesebuah empayar bergantung kepada pemimpin yang berwibawa. Pemimpin yang berwibawa dapat mewujudkan kestabilan politik. Ini dapat diwujudkan dengan menggunakan kekuatan tentera. Di samping itu, pemimpin-pemimpin juga memberikan naungan politik kepada pertumbuhan tamadun. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti memperkenalkan sistem legalisme dalam pemerintahannya dalam usaha mengukuhkan kekuasaan dan keamanan pemerintahannya. Manakala, kerajaan Maurya memberikan naungan politik kepada golongan karyawan untuk bergiat dalam lapangan kesenian dan kesusasteraan.
7. Penyebaran agama
Pemimpin sesebuah empayar juga bertindak menyebarkan fahaman agama ke wilayah-wilayah jajahan takluk khususnya kepada pemimpin yang terikat dengan sesuatu fahaman agama dan ingin membawa perubahan dalam masyarakat. Contohnya, Maharaja Asoka selepas Perang Kalinga telah mengambil beberapa langkah untuk menyebarkan agama Buddha dalam empayarnya. Selain, mengadakan siri lawatan ke seluruh empayar untuk menyebarkan agama Buddha, baginda juga melantik pegawai-pegawai yang dikenali sebagai Dharma Mahamatra untuk menyebarkan agama Buddha. Selain itu, Asoka telah mempraktikkan dan mengamalkan ajaran-ajaran Buddha dalam kehidupannya dengan menghentikan amalan membunuh binatang dan memakan daging. Hasil usaha dan langkah-langkah tersebut, agama Buddha telah menjadi agama dunia.
8. Kemajuan komunikasi
Kejayaan sesebuah empayar juga bergantung kepada sistem pengangkutan dan komunikasi. Rangkaian jalanraya diperlukan untuk menggerakkan pasukan tentera untuk melicinkan pentadbiran. Hal ini dapat dilihat dalam kerajaan Rom pada zaman Augustus Caesar. Beliau telah membina jalanraya-jalanraya yang menghubungkan Rom dengan kebanyakan kawasan jajahannya. Ini telah memudahkan pergerakan tentera ke kawasan jajahan untuk mematahkan sebarang kebangkitan untuk mencabar kepimpinan maharaja.
C. Kesimpulan
Empayar merupakan entiti politik yang lahir daripada kegiatan ketenteraan yang menyebabkan proses perluasan wilayah. Sebagai unit politik yang merangkumi kawasan yang luas, empayar mempunyai beberapa ciri seperti sistem birokrasi kerajaan pusat yang mantap , kehomogenian budaya, agama dan budaya, kekuatan militer, perlaksanaan hegemoni dan sistem naungan ekonomi. Ciri-ciri ini amat penting dalam memantapkan serta mengukuhkan kedudukan sesebuah empayar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Empayar akan mengalami kemerosotan apabila pemerintah gagal mengawal struktur empayar, mengukuhkan pentadbiran pusat, kemerosotan ekonomi dan sistem pertahanan lemah.
..................................................................
Bincangkan ciri-ciri sistem pemerintahan beraja di Alam Melayu.
..................................................................
A) PENGENALAN
Pemerintahan dapat didefinisikan sebagai institusi yang menggubal dasar dan peraturan serta melaksanakan keputusan-keputusan yang berkaitan dengan kepentingan awam.Terdapat pelbagai bentuk sistem pemerintahan dalam tamadun awal dunia yang bertujuan mengurus serta mentadbir sesebuah negara,menegakkan undang-undang negara,menegakkan undang-undang dan perpaduan rakyat. Sistem pemerintahan beraja merupakan sistem pemerintahan yang terawal dalam tamadun dunia. Pemerintahan beraja boleh dibahagikan kepada pemerintahan berpusat dan wilayah. Antara kerajaan awal di Alam Melayu yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja adalah seperti kerajaan Angkor, Srivijaya, Melaka, dan Majapahit.Terdapat pelbagai ciri sistem pemerintahan beraja di Alam Melayu sebelum abad ke15M.
B) ISI-ISI PENTING: ( 5 x 4M)
1. Raja sebagai simbol kosmos.
Raja di alam Melayu sebelum abad ke 15M, adalah berasaskan konsep kosmologis.Raja merupakan simbol kosmos manakala rakyat berada di bawah penguasaannya.Lahir konsep dewaraja. Raja adalah jelmaan dewa Shiva,Vishnu,dan Buddha.Raja mempunyai kuasa suci dan berdaulat. Pemujaan dewa berkembang secara meluas di Alam Melayu pada zaman Hindu Buddha.Cth: Raja Air Langga dan Ken Arok dianggap sebagai penjelmaan dewa Vishnu.
Di Srivijaya pula, raja dianggap sebagai penjelmaan Dewa Amoghapasha Avalokitesvara.Amalan pemujaan raja berkembang di Srivijaya dari abad ke 7 hingga abad ke 14 M.Rakyat dikehendaki mencurahkan taat setia yang tidak berbelahbagi .Rakyat yang menentang raja akan menerima hukuman seperti ditimpa tulah.
2. Raja berkuasa mutlak.
Raja merupakan autoriti tertinggi dalam pemerintahan negara. Raja memerintah dengan kuasa mutlak.Kekuasaan baginda dikukuhkan dengan cara mengaitkannya dengan asal-usul keturunannya dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Iskandar Zulkarnain. Raja melebihi undang-undang dan hukuman ditangannya. Raja boleh mengampun kesalahan walaupun yang melakukan kesalahan adalah dirinya sendiri. Raja kekal daripada sebarang hukuman.
3. Raja sebagai ketua dalam semua bidang.
Raja bertindak sebagai panglima tentera,ketua hakim,ketua agama dan sebagainya. Dalam bidang ketenteraan, raja bertindak sebagai perancang, dan mengetuai pasukan tentera. Dalam hal-hal keagamaan, raja bertanggungjawab dalam pengurusan rumah ibadat, melantik ketua agama, serta upacara keagamaan. Raja berkuasa penuh dalam bidang kewangan, dan ekonomi seperti pungutan cukai, hasil pertanian, perniagaan dan semua perkhidmatan. Raja dianggap tuan punya tanah.
4. Raja sebagai ketua eksekutif .
Dalam pentadbiran beraja di Alam Melayu sebelum abad ke 15M, raja merupakan ketua tertinggi dengan dibantu oleh golongan bangsawan. Raja dibantu oleh golongan kerabat diraja yang dilantik seperti bendahara, laksamana, temenggung, syahbandar dan lain-lain di Melaka. Di Srivijaya pula, terdapat jemaah menteri yang menasihati raja dalam perkara yang berkaitan dengan masalah rakyat jelata.
5. Raja mempunyai daulat dan kesaktian.
Raja dianggap mempunyai daulat dan kesaktian. Pada zaman Srivijaya,konsep daulat berkembang apabila raja dikaitkan dengan pelbagai mitos tentang asal-usul , jurai keturunan, salasilah serta kelebihan fizikal dan kerohaniannya. Dari segi keturunan, raja-raja dikaitkan dengan dewa-dewa yang dianggap suci. Daulat juga dihubungkan dengan tuah yang dimiliki oleh raja. Apabila keadaan dalam Negara aman dan makmur, maka raja dianggap berdaulat. Rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia yang tidak berbelahbagi terhadapnya. Sesiapa yang menentang raja dianggap menderhaka. Penderhaka akan ditimpa tulah dan sumpahan.
C) Kesimpulan
Jelaslah bahawa kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu mengamalkan pemerintahan beraja. Sistem beraja di Alam Melayu sebelum abad ke 15M merupakan gabungan sistem tempatan dan pengaruh agama Hindu serta Buddha. Raja berkuasa menggubal undang-undang untuk mengukuhkan kedudukannya, menjatuhi hukuman mati, memegang jawatan penting dan bertindak menurut keperluannya.
[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]
Anda mungkin juga meminati:
TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PENGUKUHAN EMPAYAR DI ALAM MELAYU
FOKUS STPM 2008 - TEMA 2 - EMPAYAR (TAMADUN DUNIA)
TAMADUN DUNIA : TEMA 1 – CIRI-CIRI TAMADUN AWAL
TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN (PEMBENTUKAN EMPAYAR)
LinkWithin
Posted by Cikgu Rashman at 5/06/2011 11:14:00 PM 0 comments Links to this post
Labels: NOTA TAMADUN DUNIA TEMA 2, SOALAN RAMALAN
FRIDAY, 18 MARCH 2011
TAMADUN ISLAM : TEMA 1 – FAKTOR DAN KESAN HIJRAH
.......................................................................................
Nyatakan faktor-faktor dan kesan-kesan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah.
.......................................................................................
Pendahuluan (3 markah)
a) Konsep Hijrah
1. Hijrah ertinya ‘perpindahan’, iaitu perpindahan orang Islam dari Makkah ke Madinah bermula pada 1 Muharram dan tarikh ini merupakan bermulanya tahun hijrah dalam kalendar Islam.
2. Orang Islam telah merangka strategi yang cukup teliti untuk berhijrah bagi memastikan kejayaannya dari segi agama, moral, sosioekonomi dan politik. Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana kesesuaiannya dari segi agama, moral dan sosioekonomi.
3. Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abd al-Asad pada 1 Muharam tahun pertama Hijrah ( 16 Julai 622 M ). Rombongan pertama yang berhijrah ke Madinah ialah seramai 70 orang dan mereka berhijrah dalam kumpulan-kumpulan kecil agar tidak diketahui oleh kaum Musyrikin Makkah .
Isi Jawapan ( 20 markah )
Faktor-faktor penghijrahan ( 5x 2 markah = 10 markah)
1. Bai'atul Aqabah
Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.
2. Tekanan Musyirikin Mekah
Tekanan / Ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.
3. Kegagalan Dakwah di Taif
Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.
4. Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.
5. Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.
6.Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.
7. Kedudukan Madinah yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.
8.Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.
9. Wahyu
Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.
Kesan-kesan penghijrahan.( 5 x 2markah = 10 markah)
1. Umum
Dapat mempergiatkan penyebaran agama Islam Hijrah merupakan suatu proses jangka panjang dalam perjuangan umat Islam dan dilakukan secara terancang dan teratur dari segi kerohanian dan kebendaan .Nabi Muhammad (SAW ) mendapat teman yang setia, jujur dan ikhlas dalam mengharungi perjuangan iaitu Ali dan Abu Bakar. Keredaan dan restu daripada Allah perlu sentiasa dipohon terutama di waktu-waktu kesusahan.
2) Perubahan Pusat Gerakan Islam Perkembangan politik
Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah. Bidang politik mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan ketenteraan di mana kegiatan ketenteraan Islam berkembang dengan pesat dan berjaya menundukkan dua buah empayar besar iaitu Parsi dan Rom.
3) Penyebaran Islam Semakin Meluas
Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.
4) Perubahan Kedudukan Nabi
Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.
5) Pertambahan Umat Islam
Hijrah umat Islam adalah atas arahan Allah dan merupakan pekerjaan yang berkaitan dengan agama. Tujuan utama hijrah adalah untuk menuntut keredaan Allah. Madinah dipilih adalah kerana kesesuaiannya untuk dijadikan pusat penyebaran agama Islam. Peristiwa hijrah ke Madinah juga terdapat banyak unsur-unsur mukjizat yang berkaitan dengan aspek keagamaan secara langsung dan dapat mempertingkatkan iman dan keyakinan orang Islam.Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari dua golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.
6) Penubuhan Negara Islam
Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.
7) Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah
Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.
8) Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar
Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
9) Permulaan Kalendar Hijrah
Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.
10) Perubahan Dasar Politik
Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang apa sahaja penentangan Quraisy secara kekerasannya. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar.
11) Pertumbuhan Ekonomi
Kedudukan ekonomi orang Islam sewaktu di Madinah semakin kukuh. Orang-orang Muhajirin telah diberi bantuan oleh orang Ansar. Selain itu, Madinah merupakan kawasan yang sesuai untuk pertanian dan kedudukannya yang strategik untuk perdagangan. Setelah hijrah, sistem ekonomi Islam yang bertepatan dengan syariat Islam telah diperkenalkan dan ekonomi masyarakat Islam bertambah kukuh dan negara Islam menjadi lebih makmur dan stabil.
12) Sosial ( pembentukan ummah )
Semasa di Makkah, masyarakat Jahiliah mengamalkan cara hidup berkabilah sementara para peniaga pula bersifat individualistik. Penghijrahan telah menghapuskan nilai-nilai masyarakat Jahiliyah dan digantikan dengan nilai-nilai murni berpandukan akidah dan akhlak. Dalam sistem sosial Islam, setiap orang diberi kebebasan tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di mana hidup berkabilah telah digantikan dengan sistem sosial dalam bentuk Ummah.
Kesimpulan ( 2 markah )
Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad ( SAW ) merupakan perjuangan Baginda untuk menegakkan ajaran agama Islam. Baginda didorong dan didesak oleh keperluan untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan demi kebahagiaan dan kesejahteraan umat Islam. Umat Islam harus mengambil iktibar daripada penghijrahan Rasullulah ( SAW ) untuk meneruskan perjuangan hidup demi kebaikan umat Islam.
Penghijrahan ini juga telah membuka satu lembaran baru dalam episod penyebaran dan perkembangan agama Islam.Terlalu banyak kebaikan yang dinikmati oleh umat Islam dan umat manusia rentetan dari penghijrahan tersebut.
...........................................................................................
SATURDAY, 15 JANUARY 2011
TAMADUN DUNIA : TEMA 3 – PEMIKIR KETENTERAAN INDIA
Siapa Pemikir Ketenteraan ?
a. Golongan yang telah memberi sumbangan yang berharga kepada pertahanan Negara.
b. Mengemukakan cara-cara bagaimana pemerintahan boleh mengekalkan kekuasaan melalui ketenteraan
c. Biasanya kaedah yang diperkenalkan bertentangan dengan nilai moral dan kemanusiaan
Siapa Kautilya ?
a. Seorang menteri Brahmin pada zaman empayar Maurya awal abad ke 3 SM
b. Idea dikesan melalui bukunya ‘Arthasastra/ Science of Gain’
c. Digunakan oleh ramai pemerintah di India seperti Maharaja Asoka dan Maharaja Chandra Gupta Maurya; dalam usaha penaklukan dan peluasan wilayah
d. Ideanya dikaji oleh tokoh pemikir tentera moden dan digunakan dalam Negara mereka spt Napoleon Bonaparte (Peranchis), Otto Von Bismark (Jerman), Moa Tze Tong (China)
Idea ketenteraan Kautilya
1. Tentang hubungan antara Negara dengan wilayah/tanah jajahan berasaskan kepada 6 pertimbangan
i. Keamanan
ii. Peperangan
iii. Menunggu masa untuk musuh memulakan serangan
iv. Menyerang dahulu
v. Mengadakan persekutuan dengan musuh
vi. Dasar duaan iaitu persekutuan dengan satu pihak dan berperang dengan pihak yang lain
2. Empat cara untuk menang peperangan
i. Pujukan melalui ucapan yang menawan hati
ii. Memujuk dengan memberi rasuah
iii. Semai benih perpecahan untuk melemahkan musuh
iv. Jika gagal usaha-usaha tersebut barulah berperang
3. Sifat seorang penakluk
i. Harus mengetahui tentang kekuatan tenteranya dengan kekuatan musuh
ii. Kemahiran dalam mengadakan komplot lebih baik daripada kegagahan dan kehandalan berperang
iii. Jika peperangan tidak ada kemenangan dan memakan masa yang panjang, raja perlu guna jalan lain yang tidak jujur seperti sabotaj, rasuah, guna pelacur dll
4. Kaitan dengan spiritual dan keagamaan
i. Berjuang hingga mati untuk mencapai matlamat spiritual
ii. Kematian dalam peperangan bertujuan untuk membebaskan diri dari rantai kelahiran semula dan capai Nirwana